Posted by: Kayacipta | Ogos 17, 2008

GEBANG MERDEKA

”Maka dengan ini atuk tidak akan maklumkan
siapakah pelopor merdeka kerana terlalu ramai’
”Ah! pelopor lazimnya seorang sahaja, tuk?”
”tetapi mereka ialah…

IBRAHIM YAACOB
ZAINAL ABIDIN AHMAD
BURHANUDIN AL HELMI
ISHAK HJ MOHAMAD
AHMAD BOESTAMAM
ONN JAAFAR
KHADIJAH SIDEK
ASRI HJ MUDA
SHAMSIAH FAKEH
TUNKU ABDUL RAHMAN
ABDUL RAZAK HUSSEIN
HUSSEIN ONN
SAMBANTHAN
TAN CHENG LOCK
H.S LEE”
“Siapakah sebenarnya pelopor merdeka…bukan serkap jarang aje tuk?”
“Baca sejarah!”
”Atuk keliru?”
”Entahlah cu…sejarah menipu atau sejarah ditipu atau atuk sendiri yang tertipu!”


ZABIDIN HJ ISMAIL

Angkasapuri, Kuala Lumpur
2004

Posted by: Kayacipta | Ogos 17, 2008

KEMERDEKAAN ALAF INI

Makna kemerdekaan pada alaf ini
adalah pertarungan melatih kecerdikan
adalah perjuangan menagih keberanian
dari segenap warga
dari sederap tenaga

menepis serangan godaan globalisasi
menangkis ancaman sengketa siber
yang mendepani kita setiap detik
yang memenjara kita sepanjang ketika

Kemerdekaan yang kita junjung
di langit cemerlang ini
adalah kebebasan hakiki
yang perlu kita sayangi
jangan kepandiran membelenggu minda
dalam bungkusan selimut kemakmuran
lalu lena beradu di ranjang kealpaan
persis mengimbau sebuah penjajahan
persis mengundang sebuah penaklukan.

Penjajahan & penaklukan pada alaf ini
bukan canggihnya kilat peluru senjata perang
tidak pula soldadu terlatih, tingkah menyerang
tetapi virus siber datang bertandang
dalam dunia tanpa sempadan
memasuki setiap ruang minda dengan agenda
menawar laman sawang bersarang sengketa
memerangkap kita sesat terjerat
di lukah raya maklumat langit terbuka
kita akan terpesona dalam dunia baru
membiarkan diri dijangkiti virus siber
mengikis citra santunan susila bangsa
dalam godaan gelombang globalisasi
jadinya kita tersasar mengejar wawasan
lalu terpaksa kemerdekaan ini kita lepaskan!

ZABIDIN HJ ISMAIL
Utusan Zaman, 18.3.2001

Posted by: Kayacipta | Ogos 4, 2008

SAMPAIKAN SALAMKU

Kelihatan YAB Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan disebelahnya, Hj Mohd Sabri Ibrahim [bersongkok] di pejabat Menteri Besar Perak

Ipoh, 4 Ogos - YAB Dato’ Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak  merangkap Penaung  Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] memohon sampaikan salam beliau kepada semua Ahli Jawatankuasa Karyawan Pk. Mesej ini telah dibawa oleh Hj Mohd Sabri Ibrahim, Setiausaha Dua ketika mengunjungi Menteri Besar itu baru-baru ini. Insya Allah mesej ini dimaklumi oleh ahli-ahli Jawatankuasa Karyawan Pk.

Posted by: Kayacipta | Ogos 2, 2008

BENDERA KEMERDEKAAN*

Keyakinan diri adalah ubat sejahtera penawar cabaran
meresap dalam sanubari
menghapus sejuta prasangka warna dan sengketa
meletakkan akal budi kehidupan dalam sangkar madu
berpadu jitu semangat setiakawan
rencah perpaduan antara kita
setelah kita bebas dari belenggu musim lalu
seluruh warga bumi bertuah ini berpadu kata, seragam cita
selazat rasa membentuk sebulat tekad keazaman wawasan perdana
bergerak sederap mendaki puncak kegemilangan
dalam ledakan kemajuan Asia-Pasifik abad mendatang
pagi-pagi sinar cerlang bakal tiba pasti menghidangkan
sarapan kesejahteraan yang berisi sedulang kemakmuran
deru bayu Kinabalu bersambut salam ombak Selat Melaka
berhembus mesra dalam kelazatan sarapan kesejahteraan.
Apakah kita mampu meneguk kedamaian itu?
-selagi deru bayu perpaduan
-selagi deru bayu setiakawan
selagi itulah secangkir kemanisan bisa dihirup semau-maunya!
kita warga terbaik manusia berbudi
yang terpancar dari keluhuran peribadi
bersama keakraban
berserta keharmonian
lebarkan keyakinan diri ubat sejahtera penawar cabaran
di bawah kibaran bendera kemerdekaan
bersatu kekuatan sekata senada
adalah pemilik kemakmuran
pewaris kesejahteraan.

ZABIDIN HJ. ISMAIL
Teluk Intan, Perak
(Antologi Pelangi Keakraban, Fajar Bakti: Shah Alam, 1997. hlm.13)

___________

*Sajak ini memenangi hadiah saguhati Pertandingan Menulis Puisi Perpaduan anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Malaysia pada tahun 1995

 

null

 

Merenung kembali sejarah kebangkitan ulama di Negeri Perak, kita pasti berhadapan dengan rentetan perjuangan yang tidak kunjung padam oleh beberapa orang ulama silam dalam mendaulat dan mengembangkan syiar Islam di tanah airnya sendiri terutama sewaktu sebelum kemerdekaan negara. Mereka sanggup berkorban semata-mata untuk menunaikan tuntutan Allah s.w.t kerana sesungguhnya, sebaik-baik umat disisi-Nya ialah orang yang sanggup berjihad ke jalan Allah.Kebangkitan ulama warasatul anbia’ di Perak melalui tiga peringkat iaitu:-

  1. Zaman Pertama   (1528-191 8) - zaman pengajian pondok
  2. Zaman Kedua      (1919-1950) - zaman pengajian madrasah
  3. Zaman Ketiga      (1951-1957) - zaman pengajian sekolah agama rakyat

 

Justeru itu, kemunculan Haji Abdul Samad Noh sebagai ulama yang terkenal dan disegani di Negeri Perak bermula penghujung Zaman Pengajian Madrasah. Kemunculan beliau seangkatan dengan ulama-ulama lain seperti Tuan Haji Sheikh Idris al-Marbawi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Junid Tola, Ustaz Abu Bakar Bakir, Tuan Sheikh Mohd. Salleh Haji Mohd. Taib, Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Zubir Haji Ahmad, Prof. Zulkifli Muhammad, Dr Burhanudin al-Helmi dan Tuan Haji Muhammad Arshad Haji Muhammad Salleh.

 

Mereka inilah suatu masa dahulu telah berjaya melakarkan era kebangkitan ulama di Perak dengan memenuhi setiap kegiatan dakwah dan penyampaian ilmu Islam sebagai ad-din di serata pelusuk negeri terutama memfokuskan kegiatan di madrasah, surau, masjid serta istana selain sekolah-sekolah agama rakyat.

SEMANGAT CINTAKAN ISLAM

Kebangkitan mereka bukan sahaja kerana dorongan semangat cintakan Islam semata-mata tetapi ada unsur galakan yang tinggi daripada Sultan Iskandar Shah - Sultan Perak ke-30 yang dikenali oleh rakyat jelata dengan nama mesra baginda Raja Alang Iskandar.

 

Bertolak dari keadaan semasa, Haji Abdul Samad Noh menjuruskan kegiatannya dengan mengajar serta bersyarah di majlis-majlis ilmu terutama apabila menerima undangan. Dia mencurahkan segala ilmu yang dipelajari di Kota Suci Makkah kepada setiap mukmin dan mukminat yang bersedia mendengarnya.

 

Haji Abdul Samad Noh dikenali sebagai ustaz. Dia dilahirkan pada tahun 1917. Anak kelahiran Padang Rengas, Perak ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dan di Madrasah Yahyawiyah, Kampung Lalang, Padang Rengas dan di Madrasah Masriyah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

 

Setelah berusia 18 tahun iaitu pada tahun 1935, Ustaz Abdul Samad berpeluang melanjutkan pelajaran di Madrasatul Saulatiyah, Makkah, Arab Saudi. Semasa menuntut di situ, dia mula terbabit dalam gerakan kebangsaan bersama-sama pelajar Indonesia yang giat berjuang menuntut kemerdekaan negara mereka.

 

Justeru, semangat kebangsaan yang kian menebal itu telah menyeret Ustaz Abdul Samad Noh dalam penubuhan Persatuan Tenaga Makatul Musyarrafah. Pertubuhan berbau politik ini berjaya mengabungkan pelajar-pelajar Tanah Melayu dan Indonesia di Makkah. Matlamat penubuhannya hanyalah untuk memerdekakan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah Inggeris.

 

 

JURUBICARA PERJUANGAN ANAK MELAYU NUSANTARA

Kemudiannya persatuan ini menjadi bertambah kukuh apabila ia bergading bahu dengan Parti Indonesia Merdeka dan Persatuan Anak-anak Patani dengan bertindak sebagai jurubicara perjuangan anak Melayu Nusantara yang menuntut di Makkah bagi menentang penjajahan.

 

Dalam pergerakan dan perjuangan pelajar-pelajar Melayu di Makkah, Abdul Samad Noh dinobatkan sebagai tokoh dari Tanah Melayu yang paling tersohor. Dia berjaya menempatkan dirinya di kalangan pelajar “Jawi” (panggilan Arab terhadap orang Melayu) di Makkah yang amat bengkeng dan baran terhadap penjajah yang sedang bermaharajalela di tanah air sendiri.

 

Hal ini jelas diperlihatkan apabila Abdul Samad Noh menerusi Persatuan Tenaga Melayu bertindak “ menyuntik semangat” Dato Onn Ja’afar dengan mengutus telegram menyatakan sokongan padu terhadap orang Melayu yang bangkit menentang Malayan Union pada tahun 1946.

 

Sekembalinya ke Tanah Melayu, dia bergiat cergas dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) melalui pelawaan Dato’ Panglima Gantang Wahab manakala beberapa rakan seperjuangan semasa di Makkah memilih Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebagai wasilah untuk meneruskan perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan.

 

Tetapi malangnya, apabila dia menyertai UMNO dengan sendiri dia tersisih daripada rakan-rakan seperjuangannya yang berada di PKMM. Justeru, dia lantas membawa diri dan bermastautin di Kampung Sungai Bayor dan mengajar di Madrasah Iskandariah, Sungai Bayor, Selama, Perak.

 

Namun begitu, pada tahun 1949 dia pulang ke Padang Rengas. Dia membulatkan tekad untuk meneruskan pembinaan Madrasah Yahyawiyah di Kampung Pondok, Padang Rengas yang terbengkalai akibat Perang Dunia Kedua. Madrasah terbengkalai itu terletak di suatu kawasan bawah Gunung Pondok. Kelihatan hanya tiang-tiang rusuk dan halang-halang yang terpasang dipanjat dan dibeliti tumbuhan menjalar serta sekitarnya penuh semak samun.

 

Berbekalkan semangat serta sokongan padu penduduk kampungnya, Ustaz Abdul Samad Noh berjaya membaik-pulih dan membangunkan madrasah itu. Madrasah Yahyawiah sebetulnya dinamakan mengambil sempena nama Orang Besar Perak, Dato’ Yahya yang telah menderma wang untuk pembinaaan rangka bangunan serta mewakafkan tanahnya untuk tapak sekolah berkenaan.

 

Ustaz Abdul Samad Noh berjaya meletakkan Madrasah Yahyawiyah sebagai sebuah sekolah agama yang terbilang semasa zaman keemasannya. Di bawah kepimpinan beliau, sekolah ini berjaya menggamit pelajar dari Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam selain negeri-negeri di Semenanjung belajar dan pernah menerima sehingga 500 pelajar perempuan dan lelaki setiap tahun.

 

DEWAN ULAMA UMNO

Pada sekitar tahun 1951, ketika UMNO menubuhkan Dewan Ulama, Ustaz Abdul Samad Noh dilantik sebagai wakil kawasan Padang Rengas. Namun setelah dewan tersebut dibubarkan dan membuka jalan ke arah penubuhan Parti Islam SeTanah Melayu (PAS), Ustaz Abdul Samad Noh meyertai parti itu.

 

Sepanjang bersama PAS, dia pernah dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Perak dan Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Pada tahun 1954, Ustaz Abdul Samad Noh bersama-sama Allahyarham Dato’ Haji Hassan Adil berjaya menubuhkan Persatuan Guru-guru Madrasah Agama Rakyat (PEGMA) dan beliau dilantik sebagai presiden pertama pertubuhan tersebut. Apabila PAS berada dalam Barisan Nadional (BN), Ustaz Abdul Samad Noh dilantik sebagai Penasihat Perkembangan Pelajaran Agama Sekolah-sekolah Malaysia selama dua tahun.

 

Kerjayanya dalam bidang pendidikan Islam tidak hanya menjadi Mudir Madrasah Yahyawiyah Padang Rengas tetapi juga pernah menyumbangkan jasa-baktinya sebagai Ahli Jawatankuasa Zakat Fitrah Negeri Perak (1953-1982) dan sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah serta Ahli Majlis Agama Islam Perak. Beliau juga pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Ulama Perak di samping menjadi Guru Agama Dakwah, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Perak serta anggota Adat istiadat Melayu Perak .

 

Dalam perkembangan syiar Islam serta pembanguan ummah, Ustaz Abdul Samad Noh dikenali sebagai seorang pensyarah yang terkemuka. Dia kerap menerima undangan berceramah sempena majlis-majlis kebesaran Islam terutama di kawasan Utara Perak.

 

PENGARANG MAPAN

Di samping tersohor sebagai ulama dan tokoh politik, Ustaz Abdul Samad Noh memiliki kepakaran mengarang dan layak digelar sebagai pengarang mapan. Dia berjaya menggunakan kelebihan dan keistimewaan anugerah Allah s.w.t kepadanya dengan menghasilkan beberapa buah karya dalam bentuk buku. Bagaimanapun, tidak diketahui dari manakah dia belajar seni kepengarangan itu.

 

Namun begitu, menurut seorang bekas muridnya bernama Noor Iskandar, Ustaz Abdul Samad Noh pernah berkata bahawa untuk menjadi seorang pendakwah yang berkesan, alim ulama perlu menguasai pelbagai kepakaran termasuklah menulis selain mengajar dan bersyarah.

 

Lantaran itu, di Madrasah Yahyawiyah, Ustaz Abdul Samad Noh pernah menganjurkan kursus penulisan dan kewartawanan bagi menyalurkan ilmu persuratan kepada murid-muridnya supaya dapat dimanfaatkan sebagai wasilah penyampaian dakwah yang berkesan menerusi penulisan .

 

Pandangan ini sebenarnya telah diamalkan oleh Ustaz Abdul Samad Noh sendiri. Buktinya, dia telah berjaya menghasilkan beberapa buah buku yang khususnya bersangkutan Islam. Antaranya ialah Isu Kafir Mengkafir, Fadhilat Ayat Kursi, Gurindam Syair Rasulullah, Bekal Tua Dan Sejarah Khalid Ibn Walid, Sahabat Rasulullah.( karya-karya ini adalah khazanah Negeri Perak yang cukup tinggi nilainya. Semoga ada pihak yang berminat untuk mengumpul dan memelihara karya tersebut supaya tidak pupus ditelan zaman ).

ULAMA PELOPOR BOLA SEPAK

Selain berdakwah dan menulis, Ustaz Abdul Samad Noh memiliki kegemaran yang paling dibenci oleh sebilangan besar alim ulama yang setaraf beliau iaitu permainan bola sepak. Dia amat meminati sukan itu. Setiap ada kelapangan sesudah menunaikan solat Asar dia pasti pergi sama ada Kuala Kangsar atau Pekan Padang Rengas semata-mata untuk menonton bola sepak di padang bandaran.

 

Barangkali dia ingin mengembalikan nostalgia di peranatauan. Sewaktu dia belajar di Makkah dahulu, dia pernah memperkenalkan sukan bola sepak kepada pemuda-pemuda Arab. Dia membentuk sebuah pasukan bergelar Al-Asadul Jawi (Singa Jawi) yang dianggotai pelajar-pelajar Tanah Melayu dan Indonesia. Dan Al Asadul Jawi kerap mengadakan perlawanan persahabatan dengan pemuda Arab sekaligus menerbitkan tali persahabatan di antara berlainan bangsa tetapi seagama itu.

 

Berikutan itu, tidak menghairankan dialah ulama pelopor bola sepak di kalangan sekolah agama rakyat di negara ini kerana memperkenalkan sukan tersebut dimainkan di Madrasah Yahyawiyah, Padang Rengas terutama sewaktu zaman pra-merdeka.

 

Sesungguhnya pada tanggal 1 Oktober 1984, Ustaz Abdul Samad Noh berpulang ke alam baqa kerana menunaikan panggilan Ilahi dengan meninggalkan selaut jasa dan budi yang boleh dipelajari dan diteladani oleh generasi kini. Al-Fatihah untuk Allahyarham – Zabidin Hj Ismail.

 

 

Rujukan :

 

Noor Iskandar. Haji Abdul Samad Noh – Ulama Peminat Bola Sepak (Mingguan Tempo 2 Mei 1993)

Ensaiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1994 (DBP) hlm.55

Sejarah Perak dalam Kebangkitan Ulamak [Kertas Kerja] 1993: Jabatan Agama Islam Perak

Zabidin Haji Ismail Kebangkitan Ulama di Perak dlm. AL ISLAM April. 1993 hlm.56-57

Posted by: Kayacipta | Julai 25, 2008

SYEIKH MUHAMMAD MURID RAWA

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Surat JARO (Jalinan Anak Rao dan Persemendaan) bertarikh 5 Februari 2007 dan aturcara Majlis Muzakarah Ahlus Sunnah wal Jamaah, memberikan kepercayaan kepada saya untuk membentang kertas kerja dalam seminar yang berlangsung di Raub, Pahang pada 18 Mac yang lalu. Dalam keadaan uzur tugas itu saya penuhi walaupun kertas kerja tersebut sangat sukar untuk saya sempurnakan.

Pada beberapa bahagian kertas kerja ini terpaksa saya minta bantuan Saiful Rizan Said kerana saya belum boleh menggunakan komputer ataupun menulis sendiri. Dalam kertas kerja itu saya perkenalkan seorang tokoh yang berasal dari Rao atau Rawa. Beliau ialah Syeikh Muhammad Murid Rawa (Syahbandarawi).

Siapakah Syeikh Muhammad Murid Rawa (Syahbandarawi) dan siapa pula Tuanku Rao yang selalu disebut dalam sejarah? Masih sukar dijelaskan. Tetapi yang dapat dipastikan Syeikh Muhammad Murid Rawa ialah datuk nenek beberapa orang tokoh terkemuka di Malaysia, antaranya Tun Dr. Hamdan Syeikh Tahir, bekas Yang Dipertua Pulau Pinang.

Manakala saya membaca surat-surat daripada keluarga Rao atau Rawa, saya berpendapat bahawa beberapa orang keluarga tersebut ada yang tercari-cari nasab atau salasilah datuk nenek mereka dan ada pula yang terlibat dalam salasilah Thariqat Naqsyabandiyah seperti Syeikh Imam Haji Ishak bin Muhammad Arif al-Khalidi an-Naqsyabandi ar-Rawi di Dong, Raub, Pahang dan lain-lain.

Hal yang demikian adalah mengikut jejak para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. dan para ulama yang muktabar dalam lingkungan ahlul bait Nabi Muhammad s.a.w. dan Ahlus Sunnah wal Jamaah terutama para ulama yang bersanad dan golongan sufi yang terkenal. Oleh itu, perjuangan seperti yang tersebut perlu kita sokong. Lebih penting lagi kita perlu memperjuangkan Ahlus Sunnah wal Jamaah seperti datuk nenek kita yang telah berhasil memperjuang dan memperkukuhkan Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Saya singkatkan, bahawa saya cuba memfokuskan persekitaran menjejaki keluarga Rao atau Rawa dan yang ada hubungan dengannya saja. Walau bagaimanapun, menerusi pelbagai dokumen yang saya kumpulkan, masih terdapat banyak pertikaian pendapat. Sebelum memasuki riwayat Syeikh Muhammad Murid Rawa, terlebih dulu saya mulakan mentakrif istilah Rao atau Rawa seperti berikut.


*ISTILAH RAO

Rao sekarang (setelah Indonesia merdeka) diketahui umum ialah sebuah Kacamatan di dalam Kabupaten Pasaman, Sumatera Barat. Selain yang tersebut tidak diketemukan istilah lain yang menggunakan perkataan “rao“. Yang dibicarakan dalam artikel ini ialah Tuanku Rao iaitu salah seorang tokoh dalam Perang Paderi yang berlaku pada tahun 1816-1833.

Beliau berasal dari Rao. Di sebelah Utara, Rao bersempadan dengan Sumatera Utara, di sebelah Timur bersempadan dengan Riau Daratan, di Selatan, bersempadan Minangkabau (Sumatera Barat) manakala di sebelah Barat, terbuka dengan Selat Mentawai yang secara geografi membentuk permukaan bumi di daratan pulau Sumatera.

ISTILAH RAWA

Istilah “Rawa” pada konteks perbicaraan kita ialah merujuk kepada salah satu etnik suku bangsa Melayu daripada perkataan Rao, satu tempat yang terdapat di Sumatera. Perkataan Rawa hanya popular di Makkah dan Malaysia. Kurang dikenal di Rao sendiri. Hal ini hampir sama dengan suku bangsa Bawean, masyarakat di Malaysia dan Singapura menamakannya Boyan. Sedang istilah Boyan kurang dikenal di Indonesia sendiri.
Barangkali penggunaan istilah Rawa di Malaysia bermula daripada Haji Abdullah Nordin al-Rawi yang mengasaskan syarikat percetakan dan penerbit Persama Press tahun 1921 di Lebuh Aceh, Pulau Pinang. Anak Haji Abdullah Nordin al-Rawi ialah Tuan Guru Haji Yusuf bin Haji Abdullah ar-Rawi atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Yusuf Rawa (lahir 10 Ramadan 1340 H/6 Mei 1922 M, wafat 24 Muharam 1421 H/28 April 2000 M). Beliau pernah menjadi wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menjadi duta Iran, Iraq, Afghanistan dan Turki.
Pada asalnya disebut “ar-Rawi” mengikut istilah Arab yang bermaksud dibangsakan kepada “Rao” tetapi lama-kelamaan menjadi “ar-Rawa” yang menunjukkan asal seseorang itu, iaitu daripada daerah “Rao”, di Sumatera. Tidak terdapat sejarah yang menceritakan orang-orang Rawa yang menuntut atau menetap di lain-lain negeri atau negara menggunakan istilah atau perkataan “Rawi” atau “Rawa” dicantumkan pada bahagian akhir nama mereka. Penggunaannya juga diperkirakan pada sekitar awal abad ke-19 khususnya sewaktu aktiviti pengajian Islam sedang berkembang pesat di Makkah.
Belum dapat dipastikan apakah penggunaan perkataan “ar-Rawa” pada akhir nama itu bermula di Tanah Melayu atau Makkah. Mengikut catatan, terdapat seorang Syeikh yang terakhir daripada kalangan orang Rawa yang bernama Syeikh Jamal Rawa. Belum juga dapat dipastikan apakah Syeikh tersebut mempunyai pertalian kekeluargaan dengan keluarga Rawa yang kita bicarakan dalam seminar ini.

SYAHBANDARAWI

Syahbandarawi adalah nama gelar bagi Syeikh Muhammad Murid ar-Rawi (Rawa). Beberapa tahun yang lalu, dalam tahun 1990-an saya telah memperkenalkan seorang ulama bernama Syeikh Muhammad Shalih bin Muhammad Murid ar-Rawi (Rawa) berdasarkan hanya sebuah karya beliau berjudul Fath al-Mubin yang dicetak oleh Haji Abdullah Nordin Rawa (Persama Press), Pulau Pinang. Saya tidak menduga, bahawa pada 10 Oktober 2006, salah seorang daripada keturunan Syeikh Muhammad Murid bernama Zaffuan bin Haji Manaf ar-Rawi al-Qadiriah mengirim sepucuk surat dan beberapa maklumat penting tentang keluarga yang diriwayatkan.
Perkara-perkara yang perlu saya bicarakan adalah sebagai berikut: Pada bahagian atas salasilah tertulis, “Syahbandarawi bergelar Muhammad Murid Kampung Tebat Diatas, Tanjung Betong, Rao.” Dalam salasilah yang dikirim kepada saya tersebut di atas dinyatakan bahawa Syeikh Muhammad Murid (Syahbandarawi) memperoleh sepuluh orang anak, mereka ialah Selebar Alam, Maharaja Agam, Melilit Alam, Tuanku Qari, Datuk Mengkudum, Ali, Haji Ibrahim, Shalawat, Pending (dalam artikel Zaffuan dinamakan juga Malim Makkah) dan Bintang.
Ada pun Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang pernah saya perkenalkan tidak terdapat dalam senarai salasilah. Beberapa orang anak Syeikh Muhammad Murid (Syahbandarawi) yang sepuluh orang itu adalah nama gelar. Oleh itu, yang dimaksudkan salah seorang di antara mereka termasuk Syeikh Muhammad Shalih Rawa.
Kemungkinan nama yang sebenar Malim Mekah adalah Syeikh Muhammad Shalih bin Syeikh Muhammad Murid Rawa, ulama yang pernah saya perkenalkan. Oleh kerana banyak perkara yang belum jelas, kita perlu mempersoalkan dan perlu penyelidikan yang hingga kini masih belum diungkapkan baik oleh para penyelidik di Indonesia mahu pun di Malaysia. Beberapa contoh saya perturunkan di bawah ini.
Pertama: Siapakah nama Tuanku Rao yang sebenarnya ? Daripada pelbagai buku yang saya baca ternyata nama Tuanku Rao yang sebenarnya masih dipertikaikan. Dalam salasilah tersebut malah tidak menjelaskan Syeikh Muhammad Murid sebagai Tuanku Rao, yang disebut hanya Syahbandarawi.
Selain itu, selain Tuanku Rao, ada lagi tokoh yang sangat besar peranannya dalam Perang Paderi ialah Tuanku Tambusai (lahir 21 Zulhijjah 1198 H/5 November 1784 M, wafat 1 Muharram 1300 H/12 November 1882 M). Kebetulan pula nama Tuanku Tambusai ialah Haji Muhammad Shalih, serupa namanya dengan Syeikh Muhammad Shalih bin Murid ar-Rawa. Sukar kita tentukan apakah ada dua orang tokoh yang bernama Muhammad Shalih itu. Kemungkinan hanya seorang sahaja kerana jika dibandingkan semua tulisan terdahulu masih banyak kebersimpangsiurannya.
Tidak hairanlah jika pernah terjadi polemik di antara Prof. Dr. Buya Hamka dengan Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan tentang Tuanku Rao. Buya Hamka berasal dari daerah Minangkabau sedang Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan berasal dari daerah Batak. Dalam riwayat, demikian besar pengaruh Tuanku Rao sehingga ramai orang Minangkabau mengaku beliau adalah marga Minangkabau. Orang Mandailing mengatakan beliau marga Mandailing. Orang Aceh mengatakan beliau marga Aceh. Dan Orang Riau mengatakan beliau marga Melayu Riau.
Saya hanya berani menyimpulkan yang demikian adalah wajar kerana memandangkan kemuliaan, kebesaran dan jasa-jasa yang telah ditaburkan oleh Tuanku Rao demi kepentingan agama Islam dan bangsa kerana berjuang melawan penjajah Belanda. Bagi saya orang-orang yang berjasa seperti Tuanku Rao adalah bukan pahlawan milik suku Minang, Mandailing, Aceh dan Melayu Riau saja tetapi adalah pahlawan milik seluruh etnik bangsa Melayu.
Oleh itu, keluarga Rao atau Rawa atau kita bangsa Melayu pada zaman ini perlulah mencapai ilmu pengetahuan dan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang tepat dan betul sehingga kita dapat menaburkan jasa demi kepentingan Islam dan bangsa Melayu di mana jua kita berada. Di samping itu, bangsa Melayu perlu bersatu padu menghadapi cabaran kini dan yang akan datang.

KETURUNAN SYEIKH MUHAMMAD MURID AR-RAWA

Di bawah salasilah dicatatkan sebagai berikut: “Khatib Abdullah bin Kari Sutan berhijrah ke Kampung Ajai, Dong, Raub dan berkahwin dengan Hajah Fatimah binti Haji Abdul Manan yang berdarah campuran Rao dan keturunan Datuk Kaya Ibrahim Lipis. Kemudian setelah terbuka Kampung Durian Sebatang, Dong sekitar penghujung tahun 1860-an, beliau pun berpindah ke sana dan keturunannya berkembang hingga sekarang di Dong dan juga Ajai. Antara kaum kerabat mereka ini ialah Allahyarham Tun Dr. Hamdan bin Syeikh Tahir bekas yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.”
Yang dimaksudkan adalah dari pihak ibu Tun Dr. Hamdan bernama Siti Aisyah. Ayah Siti Aisyah bernama Haji Mustafa ke atasnya ialah Iman Arab (perempuan) kahwin dengan Datuk Sakti Putih. Iman Arab binti Kari Sutan (Selebar Alam) bin Syeikh Muhammad Murid (Syahbandarawi). Kalau benar Syeikh Muhammad Shalih bin Murid ar-Rawa adalah anak Syeikh Muhammad Murid ar-Rawa maka keturunannya ramai tinggal di Mekah tetapi sayang tidak disebut dalam salasilah. Masih ramai yang disebut dalam salasilah, saya tinggalkan saja.

KEGIATAN PENYEBARAN ISLAM KETURUNAN RAO

Untuk menyesuaikan dengan Majlis Muzakarah Ahlus Sunnah wal Jamaah ini, perlu juga saya sentuh beberapa orang yang berasal dari Rao atau Rawa yang ikut aktif dalam penyebaran Islam di dunia Melayu sebagai di antara mereka ialah:

1. Syeikh Muhammad Shalih bin Murid Ar-Rawa dalam artikel yang tersendiri.

2. Abdullah Nordin Ar-Rawa.

Percetakan yang didirikan oleh Haji Abdullah bin Nordin ar-Rawa juga dikenali sebagai Mathba’ah Persama. Syarikat percetakan yang telah banyak berjasa itu kemudiannya diuruskan oleh anaknya iaitu Haji Yusuf Rawa. Hingga kini syarikat tersebut masih beroperasi di Jalan Kampung Jawa, Bayan Baru dikenali sebagai Safir Ilmu Enterprise diurus oleh cucu Haji Abdullah Nordin sendiri iaitu Mujahid bin Yusuf ar-Rawa.
Daripada percetakan tersebutlah bermula penggunaan istilah Rawa khususnya terhadap aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan percetakan serta penerbitan kitab. Dari mathba’ah tersebut melibatkan sumbangan masyarakat berketurunan Rao atau Rawa yang menetap di Semenanjung Tanah Melayu didokumen dalam bentuk cetakan nama pada kitab-kitab.

3. Imam Haji Ishak Bin Muhammad Arif Ar-Rawa.

Artikel ini dipetik daripada Ulama Nusantara blogspot.com

Posted by: Kayacipta | Julai 22, 2008

WIJAYA MALA Novelis Perak Darul Ridzuan (1923-1980)

null

 

Sesudah Jepun menyerah kalah, semenanjung Tanah Melayu mula dilanda perubahan mendadak. Selain memuncaknya semangat kebangsaan di kalangan nasionalis dan rakyat Malaya, tetapi juga suasana perubahan itu turut melebar ke arena persuratan Melayu yang dikesani sebagai pemangkin kepada penyemarakan perjuangan menuntut kemerdekaan daripada genggaman penjajah Inggeris.

Menyelusuri rentetan perjuangan politik yang panjang itu, sejarah telah melakarkan peranan badan-badan sastera sebagai penyumbang saham yang bukan sedikit ke arah memerdekakan negara ini. Pembabitan badan tersebut ke kancah perjuangan politik kerana pendukung-pendukungnya terdiri dari pemimpin-pemimpin politik dan wartawan yang menggunakan dua bentuk komunikasi sekaligus iaitu lisan dan tulisan dalam wadah perjuangan mereka.

Justeru itu, pergerakan Angkatan Sasterawan atau lebih tersohor sebagai ASAS 50 telah mencatatkan pembabitan seorang pengarang anak Perak yang berhijrah ke Kota Singa (Singapura) semata-mata untuk menerjuni kancah persuaratan Melayu di bawah payung ASAS 50 di samping membabitkan diri dalam pergerakan nasionalisme Melayu.

Beliau ialah Wijaya Mala. Nama sebenarnya Abu Yazid Zainal Abidin dan dilahirkan pada tanggal 27 Oktober 1923 di Bota Kiri, Parit, Perak. Dia memulakan pendidikan dasar di sekolah Melayu pada tahun 1931 manakala pada sebelah petang mengaji agama di sebuah sekolah rakyat di kampung kelahirannya. Pada tahun 1936, Wijaya Mala lulus darjah V sekolah Melayu dan darjah IV sekolah agama. Kemudian berbekalkan kelulusan tersebut, dia menyambung pendidikannya di sekolah Arab Idrisah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar (1937-1941) sehingga lulus darjah VI.

Peniaga Getah

Sewaktu Jepun menjajah Tanah Melayu, dia berkesempatan belajar di Sekolah Latihan Pemuda di Ipoh selama enam bulan. Tidak berapa lama setelah Jepun kecundang di tangan British, dia memasuki alam perniagaan sebagai peniaga getah di Bota Kiri (1947-1949). Tetapi, atas desakan jiwa merdeka, dia memberanikan diri berhijrah ke Singapura.

Di Kota Singa ini dia bertugas di Royal Electrical Mechanical Engineers (REME) sebagai penyelenggara stor selama lima tahun. Kemudian Wijaya Mala bekerja pula sebagai pembaca pruf Melayu Raya selama tiga bulan sebelum dilantik sebagai pemberita dan penyunting. Di samping itu, dia juga berpeluang menuntut ilmu di City Commercial College mulai tahun 1951 hingga 1953 di samping pernah bertugas sebagai kerani di Malay Seamen Union sekaligus bekerja bagi pihak Kesatuan Pegawai Perkapalan Singapura.

Apabila Balai Pustaka (kini:Dewan Bahasa dan Pustaka) ditubuhkan di Johor Bahru, Wijaya Mala diterima bertugas sebagai penyiasat luar. Kemudian DBP berpindah ke Kuala lumpur, dia ikut serta dan pada tahun 1960 Wijaya Mala dinaikkan pangkat sebagai penyunting dan pegawai penyelidik (1968 hingga November 197 8) di Bahagian Perkembangan Sastera, kemudian ditukarkan ke Bahagian Penerbitan Umum sehingga bersara wajib. Semasa berkhidmat di DBP, dia pernah mengikuti kursus di International Students Institute (ISI) Tokyo, Jepun dari tahun 1967 hingga 1968.

Penglibatan Wijaya Mala sebagai penulis bermula dengan kelahiran sajaknya “Jasa Tak Hilang” tersiar dalam Majlis, terbitan 4 Oktober 1946. Pembabitan awalnya cenderong menulis sajak, tetapi kemudian beralih ke penulisan cerpen dan novel.

Bakatnya dalam penulisan genre cerpen dan novel cukup terserlah. Wijaya Mala telah melahirkan 123 cerpen yang pernah tersiar dalam akhbar dan majalah terkenal tanah air. Pada sekitar 1950-an dan awal 1960-an dia memenangi pelbagai anugerah dan hadiah. Antaranya peraduan mengarang anjuran Jabatan Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu dan “Kawan Lama Berpisah” dipilih sebagai cerpen terbaik di samping mengondol hadiah RM100 oleh akhbar Berita Harian sebagai karya yang pertama menjadi pilihan akhbar tersebut.

Pengarang yang menulis sehingga akhir hayat

Sebagai seorang pengarang dia menulis dalam banyak bidang. Dia berkebolehan menulis cerpen dan esei tetapi lebih menonjol dalam penulisan novel. Gaya penulisan novelnya digarap secara sederhana dan memikat pembaca. Kegigihan, keyakinan dan sikapnya yang tidak mengenal erti jemu dalam menghasilkan karya telah meletakkan dirinya sebagai satu-satunya pengarang yang menulis sehingga ke akhir hayat.

Berbeza dengan rakan seangkatan yang tergolong dalam penulis ASAS 50, Wijaya Mala tidak pernah “bersara” dari menulis sebaliknya penanya tidak pernah kekeringan dakwat. Hasil dari pengamatan dan ilmu yang dipelajarinya, Wijaya Mala berjaya mengungkapkan kembali setiap peristiwa yang dialaminya dengan menterjemah ke dalam karya terutama genre novel.

Membaca novel-novelnya, kita diutarakan dengan persoalan-persoalan masyarakat, perubahan fikiran dan sikap melalui watak yang diciptanya. Umpamanya, melalui “aku” dalam novel “Mata di Jendela”, Wijaya Mala merakamkan penglihatannya sewaktu menempuh zaman persekolahan hingga ke zaman pra-kemerdekaan negara. Pandangannya terhadap pergolakan politik dan isu semasa ketika itu sekaligus mendedahkan kita betapa Wijaya Mala juga sebenarnya seorang pejuang kemerdekaan menerusi cara dan gaya tersendiri.

Namun begitu, tidak semua novelnya merakam pengalaman yang pernah dilaluinya. “Sejuk-sejuk Tokyo” nyata sekali tidak menyentuh pengalaman sewaktu menuntut di Tokyo. Sebaliknya dia mengungkapkan peristiwa-peristiwa bermakna yang berlaku di negara matahari terbit itu. Kelancaran dan peristiwa mengesankan yang beliau ungkap dalam Sejuk-sejuk Tokyo kerana dia sendiri rasa “berada” dalam masyarakat Jepun dengan bahasa pertuturan yang difahaminya. Kelicikannya “menyerap” masuk ke dalam masyarakat tersebut dilihat sebagai kebolehan peribadi yang jarang-jarang benar dapat dilakukan oleh kebanyakan orang ketika berada di perantauan.

Dua buah karya yang dijadikan contoh itu, jelas menggambarkan kemampuan Wijaya Mala menggarap peristiwa yang berlainan latar, masa, suasana dan budaya. Kecekapannya mengutip peristiwa dan pengalaman serta menterjemahkan dalam genre novel, di samping tidak jemu-jemu melahirkan tujuh buah karya sepanjang hayatnya telah “meletakkan” beliau sebagai novelis mapan tanah air kebanggaan negeri ini dari kalangan novelis-novelis terkemuka kelahiran Perak seperti gemulah Ahmad Boestamam, A Talib Hassan, Hasan Ali, Ahmad Mahmud, Malim Ghozali Pk dan Baharudin Kahar (sekadar menyebut bebarapa nama).

Wijaya Mala seorang insan yang sederhana, tenang dan lembut tetapi cukup mudah berjenaka dengan rakan-rakan. Barangkali kerana sikap dan sifat yang dimiliki ini, dia tidak pernah menghumbankan dirinya ke kancah polemik berjela-jela dan berpanjangan iaitu “Seni untuk Masyarakat” dan “Seni untuk Seni” yang tercetus semasa beliau berteduh di bawah bumbung ASAS 50. Dia tidak memihak ke mana-mana gagasan tersebut, sebaliknya Wijaya Mala mengambil jalan tengah dengan menulis dan terus menulis tanpa menghiraukan perang dingin yang melanda badan sastera itu.

Petua

Justeru itu, dalam sejarah kesusasteraan Melayu tanah air, Wijaya Mala tergolong sebagai penulis daripada golongan ASAS 50 tetapi kehadirannya dalam badan sastera itu dikenali sebagai penulis yang “merancakkan pena” bukan sebagai peneraju organisasi. Dia sebenarnya tidak cergas dalam berorganisasi. Namun dia adalah contoh seorang penulis prolifik. Baginya untuk menjadi seorang penulis yang berjaya, petuanya begini:

“Untuk berjaya menghasilkan karya-karya yang baik dan bernilai, kesungguhan dan ketelitian       adalah faktor penting.” (Wajah Biografi Penulis, DBP: 1981 :631)

Demikian Wijaya Mala dengan segala sifat dan sikap yang dimiliki terus-menerus menggerakkan pena sehingga melahirkan banyak karya yang kini menjadi khazanah berharga. Antara cerpennya yang dibukukan ialah Aku di Sebuah Pulau dan lain-lain (antologi bersama – 1957), Dua Zaman (antologi bersama – 1963), Di Laut dan Darat (1980), Tinta Pena (antologi bersama-1981), Titisan Indah di Bumi Merkah (antologi bersama-1985). Manakala novel-novelnya yang diterbitkan ialah Muda Tak Sudah (1948), Saka Kampung Gergasi (1950), Mata Intan (1957), Sisa Laut (1964), Cinta Orang Tua (1967), Sejuk-sejuk Tokyo (1973) dan Mata di Jendela (1977). Di samping menghasilkan karya sastera, Wijaya Mala berhasil pula menulis buku umum seperti Cerita-cerita dari Abdullah Munshi 1776-1854 (1967), Bendahara Garang (1973) dan Kebangkitan Semula Jepun (1979).

Wijaya Mala novelis Perak ini berhenti menulis setelah nyawa bercerai dari badan. Buktinya, setelah bersara dari DBP pada tahun 1978, dia masih menulis cerpen dan tersiar di dalam majalah Dewan Masyarakat dan akhbar Mingguan Malaysia. Di waktu yang sama juga, dia menulis kisah perjalanan (Catatan Perjalanan Ke Tanah Suci) di dalam majalah Dewan Siswa. Tetapi malangnya, karya itu sempat menemui pembaca sebanyak dua siri sahaja (siri terakhir keluaran Mei 1980) kerana Wijaya Mala dipanggil mengadap Ilahi pada 8 Mei 1980 akibat serangan jantung.

Kepulanganya ke sisi Allah s.w.t bererti dunia kesusasteraan Melayu kehilangan seorang sasterawan yang tersohor sebagai karyawan yang gigih, yakin diri dan memiliki sikap gemar menulis hingga ke akhir hayat. Malahan negeri Perak pula menangisi kepulangan ini sebagai suatu kehilangan seorang novelis anak negeri yang sukar dicari ganti. Al-Fatihah buat Allahyarham oleh Zabidin Hj Ismail

Rujukan:

”Wijaya Mala: Pengarang yang Punya Prinsip Sendiri”, Mastika, Jun 1973, hlm.14-20
“Wijaya Mala Sebagai Sasterawan, Penanya Terus Tajam Meskipun Selepas Bersara,” Dewan Siswa, Mei 1979,hlm.20-21
”Mengenang Wijaya Mala”, Dewan Sastera, Mei 1980, hlm. 60
Wajah Biografi Penulis, 1981. Kuala Lumpur: DBP
Yahaya Ismail, 1976. Sejarah Sastera Melayu Moden. Petaling Jaya: Fajar Bakti.

 

Posted by: Kayacipta | Julai 16, 2008

PEMIKIRAN POLITIK DALAM NOVEL TENGKU MENTERI

Pengenalan

Kajian tentang pemikiran politik lazimnya diselidiki bersumberkan buku-buku sains politik dan sejarah yang bersifat akademik lagi ilmiah tetapi berlainan dengan kajian ini kerana ia menumpukan terhadap kandungan mesej politik dalam sebuah novel sejarah; Tengku Menteri (TM) karya Talib Samat. Justeru pembuktian bersifat teoretik dan normatif bukan sekadar mendedahkan bahawa genre ini mampu berfungsi sebagai medium menyebarkan pemikiran politik secara berseni dan sepontan tanpa melibatkan pemaparan sebarang teori atau konsep sains politik yang ilmiah sifatnya, malahan aspek-aspek mesej politik yang ditonjolkan oleh pengarang juga dapat dikenalpasti dan dicerakinkan menerusi pembentukan konseptual dengan menggunakan kaedah content analysis yang jarang sekali diaplikasikan dalam kajian sastera di Malaysia.

Konsep dan Kaedah

Huraian ringkas terhadap konsep yang digunapakai dalam kajian ini adalah wajar diperjelaskan kepada khalayak kerana aspek pemikiran politik itu tidak hanya dianggap kepada sistem pemerintahan sesebuah negara tetapi ia boleh diaplikasikan kepada kelompok masyarakat yang mendiami sesuatu wilayah. Dalam pada itu, sedikit penjelasan seperti di bawah ini mengenai kaedah content analysis yang digunakan bagi merumuskan dapatan (findings) adalah bagi maksud menatang keboleh-kepercayaan dan kewibawaan penyelidikan.

a) Konsep

Pemikiran politik merupakan satu kesatuan yang terjalin di antara idea, falsafah, doktrin, konsep dan juga teori tentang kewujudan instituisi negara. Ertinya, di dalam kerangka yang lebih umum, pemikiran politik merangkumi pemikiran-pemikiran, teori-teori dan nilai-nilai yang merangsang dasar dan perlakuan politik. Ia termasuk teori-teori yang digunakan bagi menerangkan perlakuan politik dan mekanisme bagi mengaturnya (Lukman Taib, 1999:16). Hakikatnya, pemikiran politik adalah lontaran idealisme seseorang tokoh atau pemikir untuk diketengahkan kepada masyarakatnya dalam proses pembentukan sebuah negara bangsa.
Namun begitu, lontaran idealisme itu tidak semestinya mendapat perhatian atau diterima secara holistik oleh kelompok masyarakat kerana idealisme alternatif sentiasa wujud sebagai pilihan terbaik. Kuasa memilih ditangan masyarakat. Mereka berhak membuat pilihan berasaskan faktor-faktor dalaman atau luaran dari segenap aspek seperti persekitaran, tuntutan semasa, mahupun mood pada zamannya kerana proses penerimaan sesuatu idealisme politik itu sering dikaitkan dengan kehendak sosio-budaya, agama (kepercayaan) dan tahap pendidikan masyarakat.
Dalam konteks kajian terhadap TM, pemikiran politik yang terkandung tidaklah sampai menyentuh pembinaan negara bangsa per ser sebagaimana huraian di atas tetapi unsur-unsur politik itu tetap wujud yang merangkumi tiga aspek pemikiran politik iaitu nasionalisme, anti-kolonalisme dan sosialisme. Penulis menamakan aspek-aspek pemikiran politik itu sebagai NAKOS hasil cantuman Na (nasionalisme), Akol (anti-kolonalisme) dan Sos (sosialisme) bagi memudahkan ingatan dan menyebutnya (Zabidin 2003:i-ii).
Oleh yang demikian, takrifan yang tepat dan lengkap terhadap nasionalisme belum ada. Kepayahan menakrifkannya barangkali disebabkan oleh sifatnya yang berbeza-beza dan berubah-rubah mengikut sejarah dan struktur sosial sesebuah negara. Namun kata akar – nation berasal daripada natu yang bermaksud birth atau born (Kapur A.C, 1977: 65) yang membawa erti sekelompok manusia serumpun. Nation pula bagi Deutsh (1966:17-1 8) membawa maksud sebagai manusia yang bermastautin di negerinya sendiri. Manakala Hans Kohn (1969 : 19) berpendapat nasionalisme sebagai satu pemikiran kenegaraan yang melibatkan sejumlah majoriti penduduk yang mengenali negara bangsa mereka sebagai satu bentuk organisasi politik serta menganggap kewarganegaraan sebagai sumber utama kepada semua budaya, tenaga dan ekonomi manusia.
Pandangan Smith (1977: 89) dan Ramlah Adam (1998: 109) ada persamaan yang sepakat menakrifkan nasionalisme sebagai satu gerakan bersifat ideologi, mencari jalan untuk memerintah sendiri dalam pembentukan satu identiti kebangsaan. Justeru kajian ini merumuskan bahawa konsep nasionalisme dalam TM ialah perasaan kecintaan kepada bangsa, negara dan agama.
Pengertian anti-kolonialisme pula agak mudah difahami iaitu sebarang bentuk perlakuan atau tindakan peribumi bersifat bertentangan terhadap penjajah. Dalam konteks TM ini, bangsa Inggeris dan Siam dilihat sebagai penjajah sebaliknya imigran seperti bangsa Cina dan India dilayani sebagai pendatang yang diizinkan.
Manakala erti sosialisme menurut Syed Ahmad Hussein (1994 : 114) bermaksud mengutamakan kebajikan masyarakat daripada kebajikan orang perseorangan. Ia terkenal dengan sistem sama rata dan sama rasa tanpa harta milik sendiri dan kehidupan berkelompok dan berkongsi. Maka, dalam konteks TM, falsafah sosialisme itu tergambar bagaimana protoganis menguruskan nilai-nilai material dalam kelompok sosial yang didiaminya.

b) Kaedah

Bagi mengenal-pasti dan mencerakinkan NAKOS dalam TM, aplikasi kaedah content anlaysis paling sesuai kerana ia merupakan satu teknik untuk mengkaji komunikasi lahirah (bermaksud mesej yang tersurat dan tersirat) yang dilakukan secara objektif, sistematik dan kuantitatif dengan menyelidiki makna mesej yang dilontarkan oleh penutur bahasa (Berelson 1952). NAKOS dapat dikenalpasti menerusi makna, lambang, imej, ujaran serta gambaran atau wacana pengarang yang tersorok dicelah-celah tema, persoalan atau unsur-unsur intrinsik manipulatif seperti gaya penulisan (lihat contoh dalam Jadual 1).

Jadual 1
Contoh gambaran / wacana pengarang terhadap NAKOS dalam Tengku Menteri

NAKOS Gambaran / Wacana Pengarang

Nasionalisme elemen patriotisme, ujaran ; InsyaAllah. Jika ada yang merugikan bangsa Melayu atau kita sendiri, kita tentang habis-habisan hingga titisan darah terakhir biar terbunuh di medan perjuangan, m/s : 516 ; kata nasihat ; Anak-anakku…….bahaya dari tentera Siam…… mara ke negeri-negeri Melayu cukup membimbangkan…..m/s 31 ; kata semangat ; Ini negeri Melayu, m/s : 516.

Anti-kolonialisme gerakan menentenang penjajah; ujaran dan kata-kata nista terhadap bangsa Inggeris dan Siam; memberikan gambaran yang buruk terhadap penjajah (cth: Wah! Ini sudah melampau, orang-orang Inggeris sudah jadi kurang ajar….itulah seperti gua katakan, orang-orang Inggeris mahu rampas negeri ini daripada orang Melayu, m/s 616)

Sosialisme perlakuan / bentuk tindakan pembelaan kepada golongan marhean dari segi material; pengagihan kawasan perlombongan bijih timah; anti-kapitalisme (cth: …kita adik beradik harus berkongsi bersama kekayaan lombong bijih timah..m/s: 124)

Melalui pembolehubah (gambaran / wacana pengarang) mengikut kategori NAKOS, pengumpulan data dicerakin bagi setiap halaman TM yang mengandungi mesej pemikiran politik. Peratus dan jumlah halaman yang memaparkan mesej pemikiran politik dengan mudah dikesan berdasarkan teknik tersebut. Hasil penemuan kuantitatif ini akan dianalisis melalui pendekatan penyelidikan sains sosial secara kualitatif dan deskriptif. Asas analisis adalah berlandaskan dapatan daripada unsur-unsur kuantitatif yang telah dicerakinkan itu.

Pemikiran Politik dalam Tengku Menteri

Novel dicipta khususnya untuk menyampaikan sebarang pemikiran kepada khalayak. Ia merupakan sebuah karya sastera terkandung di dalamnya sekian banyak amanat dan maksud, yang indah dan yang mencabar pembaca ( A Rahim Abdullah 1995: ix). Justeru karya seni ini mempunyai gagasan tersendiri semata-mata untuk difahami oleh masyarakat dan persekitarannya. Hal ini diperjelaskan lagi oleh John Lucas (1997: i) dengan menganggap bahawa novel sebagai satu social sympton yang tidak dapat lari daripada memfokuskan fenomena masyarakat yang secara seninya menetaskan buah-buah pemikiran.
Lazimnya pemikiran dalam novel diketengahkan melalui unsur tema dan persoalan yang sama ada berbentuk dialog atau naratif. Namun demikian, menerusi unsur-unsur dalaman, disebalik penggunaan lambang atau imej, di situ juga wujud pemikiran tetapi ia memerlukan pemahaman yang lebih mendalam untuk memahaminya kerana pemikiran itu seakan-akan tersembunyi dan amat implisit sifatnya.
Hakikat ini telah mendasari TM tetapi pemikiran politik yang terkandung di dalamnya tidaklah dominan sebaliknya muncul secara intrinsik manipulatif dengan bersebab; pertama TM merupakan rakaman realiti dua orang protoganis (Long Jaafar dan Ngah Ibrahim) yang satu ketika dahulu pernah mengukir sejarah tersendiri di Larut (kini: Taiping), Perak. Kedua; pengarang TM terlalu terpengaruh dengan kronologi sejarah yang dilalui protoganis dan ketiga; kedua-dua protoganis bukan tokoh politik walaupun salah seorang daripada mereka – Ngah Ibrahim terbabit secara langsung dalam proses pelaksanaan Sistem Residen di negeri Perak yang diperkenalkan oleh Inggeris melalui Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874.
Berasaskan tiga faktor utama tersebut taburan NAKOS dilihat hanya subjek tempelan samata-mata berbanding dengan jumlah bab iaitu 60 episod yang merangkumi 721 halaman. Secara kuantitatif taburan NAKOS boleh dinilai melalui Jadual 2 yang menggambarkan kewujudan pemikiran politik dalam TM hanya kebetulan semata-mata.
Pengarang tidak memanfaatkan situasi sejarah – gelombang kemasukan imigran ke negeri Perak serta tindak-tanduk Inggeris dan Siam yang berusaha untuk campur tangan dalam sistem pentadbiran feudal sebagai sumber inspirasi pencetus pemikiran politik. Walaupun ada digambarkan protoganis bersikap patriotisme tetapi kecintaan terhadap watannya hanya berpunca daripada perebutan kawasan bijih timah daripada kelompok imigran China; Ghee Hin dan Hai San – dua kongsi gelap yang terkenal pada masa itu.

Jadual 2 Taburan NAKOS dalam Tengku Menteri

Nasionalisme 37, 41, 49, 233, 234, 286, 305, 306, 314, 516  (Jumlah muka surat: 10)  1.4%

Anti-kolonialisme 321, 578, 581, 582, 583, 586,609, 616, 639, 653 (jumlah muka surat: 9)  1.2%

Sosialisme 124, 280 (jumlah muka surat:2)  0.3%

Jumlah kesemua muka surat: 21  atau 3.0%

Realiti taburan NAKOS dalam TM seperti yang dipaparkan dalam Jadual 2 memperlihatkan bahawa nasionalisme dikesan dalam 10 halaman atau 1.4 peratus berbanding anti-kolonialisme merangkumi 9 halaman (1.2 peratus) dan sosialisme hanya disampaikan dalam 2 halaman (0.3 peratus). Analisis umum mendapati TM hanya menyebarkan 3 peratus pemikiran politik menerusi 21 halamannya.
Statistik ini menggambarkan bahawa pandangan John Lucas tentang novel sebagai social sympton kepada fenomena masyarakat zaman kontemporari, ada benarnya kerana TM lebih menumpukan realiti perlakuan dan tindakan masyarakat di Larut dan Bukit Gantang yang menjumpai kawasan bijih timah berbanding dengan penyebaran pemikiran politik kerana waktu itu semangat kebangsaan di kalangan orang-orang Melayu masih belum lagi bertunas .

Analisis manifestasi NAKOS dalam Tengku Menteri

Novel TM walaupun diolah dan digubah melalui pendekatan sejarah tetapi sebenarnya ia tidak boleh dinafikan sebagai medium penyampaian pemikiran politik kerana kehadiran NAKOS tidak dapat lari daripada lingkungan kehidupan protoganis atau watak bundar / watak pipih, apatah lagi mereka berhadapan dengan kemelut kerakusan penjajah merebut peluang ekonomi di Larut. Walaupun pada hakikatnya gerakan nasionalisme masih belum bertunas di sanubari masyarakat peribumi ketika itu tetapi bibit-bibit patriotisme sudah tersemat di jiwa orang-orang Melayu. Contohnya pembunuhan JWW Birch (Residen Inggeris Pertama di Perak) pada 2 November 1875 di Pasir Salak.
Namun begitu, TM menerusi intrinsik manipulatif telah berjaya memaparkan pemikiran politik meskipun kehadirannya tidak mendominasi temanya. NAKOS disampaikan melalui gambaran atau wacana pengarang yang dapat dihuraikan berasaskan tiga aspek berikut:-

Nasionalisme

Aspek ini disampaikan secara ujaran berbentuk kata nasihat oleh watak. Misalnya Long Abdul Latiff mengingatkan bahawa;
“Anak-anakku, Che Ngah Lamat, Long Jaafar dan Che Long Halimah ingatlah bahaya dan ancaman ada disekeliling kita. Bahaya dari tentera Siam yang semakin bergerak mara ke negeri-negeri Melayu cukup membimbangkan kita semua…” (m.s. 31)
Kesedaran terhadap ancaman Siam kepada watan sudahpun terpancar di sanubari masyarakat Melayu pada abad ke 19 lagi. Kebimbangan mereka bersebab kerana ketika itu negeri Kedah telah ditakluki Siam, apatah lagi utara Perak bersempadan dengan Kedah. Aspek ini juga dipaparkan berbentuk kuthbah yang disebarkan dalam kuliah-kuliah agama seperti yang disampaikan oleh Ustaz Zulkifli Muhammad begini;

“Mencintai dan mempertahankan tanah air adalah sebahagian daripada iman. Tidak beriman seseorang itu jika dia tidak mencintai negara dan tanah airnya sendiri tempat dia tinggal dan hidup sehari-hari.” (m.s. 41)

Variasi pengucapan nasionalisme tidak banyak yang boleh dikutip kerana penyampaian hanya bertumpu dalam bentuk dialog lurus tanpa berselindung atau bombastik. Contoh dapat dilihat daripada kutipan dialog Dato’ Sagor berbunyi:

“Ini negeri Melayu, Melayulah yang lebih layak memerintah negeri ini bukan perampas- perampas tanah bangsa Inggeris itu” (m.s. 516).

Nyata sekali TM tidak mengeksploitasikan unsur-unsur perlambangan atau imej mahupun interior monolog bagi menyampaikan mesej nasionalisme dalam wadah estetik yang mempesonakan. Atau disampaikan menerusi perlakuan watak yang difiksyenkan begitu rupa bagi menimbulkan semangat kebangsaan yang tulen.

Anti-kolonialisme

Meskipun novel sebagai media penyaluran idea politik tetapi suntikan mesej anti-kolonalisme itu dilihat tidak berupaya membangkit atau mencetuskan revolusi untuk menentang penjajah secara extreme tetapi kesan halus daripadanya tetap tidak dapat disangkal . Namun dalam konteks TM, fungsinya tidak terkesan kerana ia ditulis selepas era penjajahan walaupun pengarang mengambil senario penjajahan Inggeris sebagai pencetus ke arah melahirkan pemikiran politik dari aspek anti-kolonialisme.
TM menyalurkan aspek ini secara sedar yang kadangkala bersifat propaganda,metaforik dan provokatif. Penyaluran mesej secara variasi ini memperlihatkan supaya dapat menimbulkan impak kepada khalayak sasaran. Via naratif yang bersifat propaganda, watak Dato’ Sagor digambarkan pengarang sebagai seorang peribumi yang sedang mengalami konflik dalaman bersabit dengan kerakusan Inggeris untuk menakluki negerinya. Gambaran TM begini;

Dato’ Sagor terfikir betapa pada masa akan datang cabaran lebih dahsyat dan menggerunkan akan melanda negeri Perak yang tercinta ini. Dia tidak mahu negerinya tergadai ke tangan orang asing. Bumi ini. Negeri ini adalah warisan pusaka moyangnya. Dialah tuan di negeri ini. Bukan orang-orang asing dari tanah Inggeris itu yang sentiasa mengintai peluang mencerobohnya. Dia akan tentang habis-habisan orang asing itu bila tiba masanya. Geram sungguh dia dengan mereka yang tentunya tidak akan duduk diam untuk menjajah negeri ini (m.s. 321).
Pengarang tidak hanya menyampaikan mesej anti-kolonialisme yang bersifat propaganda tetapi melebar kepada metaforik via naratif bercampur ujaran bagi menggambarkan perjuangan mereka direstui oleh Allah s.w.t. Misalnya;

Beberapa jam kemudian hujan dan ribut taufan yang menggila di Sungai Perak tadi terhenti seketika. Langit kemudiannya menjadi cerah dan terang benderang sehingga mudahlah mereka meneruskan perjalanan ke Bandar Baru yang tertangguh tadi. “Bersyukurlah kita kepada Allah kerana dapat meneruskan perjalanan ke Bandar Baru yang tertangguh tadi. Ini petanda baik kita untuk memerangi Birch, si kafir laknat itu” (m.s. 586)

TM secara intrinsik manipulatif menyembunyikan mesej anti-kolonalisme tetapi nyata dapat difahami pembaca kerana ada bantuan ujaran bersifat provokatif. Pengarang tidak hanya menagih simpati Tuhan malah mengeksploit watak bukan Melayu bagi membangkitkan perasaan benci terhadap penjajah. Lihat frasa provokatif yang diucapkan oleh Koh Ah Yong :

Wah ! Ini sudah melampau. Orang Inggeris sudah jadi kurang ajar’’ (m.s. 616)

Berbeza dengan bentuk penyampaian mesej nasionalisme, pengarang dalam proses menyalurkan anti-kolonalisme, sebaliknya berjaya mevariasikan gaya penulisan yang menimbulkan impak kepada pembaca.

Sosialisme

Penguasaan British terhadap bahan komoditi seperti bijih timah dan getah serta pengimportan besar-besaran buruh asing menyebabkan sektor industri logam itu dimonopoli oleh buruh daripada negeri China dan ladang getah dikuasai pekerja-pekerja berbangsa India. Fenomena ini menimbulkan konflik di kalangan peribumi. TM merakamkan konflik tersebut tetapi realiti dalam kelompok masyarakat Melayu, pengarang sebaliknya mengangkat mesej sosialisme sebagai pilihan terbaik dalam pengagihan kek ekonomi setempat berikutan pembabitan imigran dalam sumber kekayaan itu.
Mesej politik ini disampaikan secara berterus terang melalui protoganis pertama – Long Jaafar seorang tokoh yang menjumpai kawasan bijih timah di Larut. Watak bundar ini cukup bersemangat menyampaikan mesej sosialisme dengan nada kedewasaan. Begini bunyinya;

Sebenarnya harta kekayaan yang saya miliki bukan milik saya seorang. Kita adik-beradik harus berkongsi bersama kekayaan lombong bijih timah dan cukai yang dikutip untuk kebaikan dan jaminan masa depan kita bersama dan orang-orang Melayu yang mendiami Larut dan Bukit Gantang atau sesiapa saja. Mereka semua saudara mara kita seagama yang perlu dibantu setakat yang kita mampu” (m.s. 124).

Pengagihan kek ekonomi muncul dalam era Long Jaafar lagi tetapi apabila kemasukan besar-besaran imigran Cina ke Larut dan Kuala Gula, protoganis kedua – Ngah Ibrahim (anak Long Jaafar) kembali menimbulkan isu tersebut bagi menjamin orang-orang Melayu tidak ketinggalan dalam pemilikan aset di tanah airnya sendiri. Sekali lagi mesej sosialisme diangkat untuk menyelesaikan kemelut ekonomi yang melanda orang-orang Melayu Larut dan Kuala Gula.
TM via watak Ngah Ibrahim mencadangkan bentuk penyelesaiannya; “Saya fikir kita perlu seimbangkan pencapaian ekonomi orang-orang Melayu di sini dengan orang Cina dengan menggalakkan mereka berniaga. Tidak cukup hanya menjadi nelayan atau pekebun kecil semata-mata,” (m.s. 280).
Mesej sosialisme diutarakan pengarang melalui protoganis bagi menimbulkan keyakinan pembaca kerana kedua-dua protoganis merupakan jutawan yang menguasai pentadbiran Larut dan Bukit Gantang yang mampu merubah keadaan persekitaran tersebut. Meskipun mesej itu disampaikan secara ujaran, namun impaknya longgar kerana mesej sosialisme tidak disampaikan melalui pelbagai bentuk tindakan realiti daripada protoganis, apatah lagi watak tersebut memiliki kuasa pentadbiran. Melalui perlukisan sebarang tindakan protoganis dalam menyelesaikan isu pengagihan kek ekonomi, lebih berupaya mendatangkan keyakinan dan impak pembaca daripada mesej disalurkan menerusi kata-kata. Nah! Mesej boleh disampaikan melalui tindakan.

Penutup

Kajian terhadap TM berjaya menemukan pemikiran politik dalam aspek nasionalisme, anti-kolonalisme dan sosialisme (NAKOS) walaupun kewujudannya amat sedikit sekali iaitu sebanyak 3 peratus yang meliputi 21 halaman daripada 721 muka surat. Kajian yang menggunakan kaedah content analysis ini mampu membuktikan kehadiran pemikiran politik dalam TM dengan penampilan figur dan data menerusi pendekatan kuantitatif dan kualitatif.

Rujukan

A Rahim Abdullah (1995). Pemikiran Sasterawan Nusantara: Suatu Kajian Perbandingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Berelson B (1952). Content Analysis in Communication Research. New York: The Free Press
Deutsch (1966). Nationalisme and Social Communication. England: The MIT Press
Han Kohn (1969). The Idea of Nationalisme. Ontario, Canada: The Macmillan Company
Kapur A.C (1977). The Principles of Political Science. New Delhi: S. Chand and Company
Lukman Taib (1999). Pemikiran Politik Islam. Bangi. Pusat Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Kebangsaan Malaysia
Radin Soenarno (1959). “Nasionalisme Melayu hingga T.M 1948″ dlm. Bahasa 2(i) Mac. 38-48
Ramlah Adam (1998). Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu: Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya
Smith A.D (1977). Nationalisme in Twentieth Century. Bungay: The Chaucer Press
Syed Hussein Ahmad (1994). Pengantar Sains Politik. Pulau Pinang: Pusat Pengajian Luar Kampus, Universiti Sains Malaysia
Talib Samat (2003). Tengku Menteri. Shah Alam: Karisma Publications
W.G Shellaber (ed) (1978). Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti
Zabidin Haji Ismail (2003). NAKOS- Pemikiran Politik dalam Novel-novel Ahmad Boestamam. Kuala Lumpur: Univision Press

oleh Zabidin Hj Ismail
(Kertas Kerja ini telah dibentangkan dalam Seminar Memartabatkan Tengku Menteri Ngah Ibrahim di Kota Ngah Ibrahim, Matang, Taiping Perak anjuran UPSI dan Karyawan Pk pada 2005)___
zi/seminar TM/(C)/8.5.05

Posted by: Kayacipta | Julai 10, 2008

Malaysia Tanah Air Kita

Ini tanah air kita
dari perbatasan Indera Kayangan ke puncak Kinabalu
menganjur ke kaki Santubung
bumi pusaka ini seuntai semenanjung
dan setengah sebuah pulau besar
tanah air ini
disulami gemalai santun lembut
nyiur melambai
terbina saksi berdiri dua menara tertinggi
terunggul di bawah langit aman khatulistiwa
adalah
bumi emas milik tunggal kita
kitalah!
tiada siapa lagi yang bakal mewarisi
kitalah!
tiada siapa lagi yang bakal mewarnai
kitalah yang bestari membentang ambal keunggulan
di lantai kemerdekaan
kitalah!
tiada siapa lagi yang afdal ke depan
bergerak sederap menuju cita perdana
wawasan keramat, tentunya!

Ini tanah air kita
telah diwariskan milik bersama
telah dinobatkan Malaysia namanya
negara terbaik
negara tercantik
bumi tempat kita berpijak
bumi tempat kita berpayung
sempurnakan tekad, genggam bara api
ukir sejarah sebuah negara bervisi
pada era abad kedua puluh satu ini
tanah air bisa tertonjol
sebuah negara teknologi
sebuah negara industri
pusat segala tamadun
ilmu dan ekonomi
adalah
negara naga di rantau timur
adalah
negara seni seantero
dalam acuan bangsa berperibadi
M A L A Y S I A
tanah air kita
adalah negara adil
adalah negara makmur
adalah negara keredaan Tuhan

ZABIDIN HJ ISMAIL
Grupemuisi Karyawan Pk
Berita Minggu, 27 Ogos 1995

Posted by: Kayacipta | Julai 8, 2008

Bulan mengambang di Kuala Lumpur

Kiriman-Kiriman Sebelumnya »

kategori